Daisypath Anniversary tickers

THE SIGN OF OUR LOVE

Lilypie First Birthday tickers

Monday, September 20, 2010

BUKAN INI SYAWAL TERAKHIR KITA


Pagi syawal ini menjelma dengan penuh ketenangan ditemani dingin embun di pagi hari. Alhamdulillah dipanjatkan untuk Illahi di atas nikmat kurniaanNya yang tidak terhingga ini. Syukur insan ini masih dianugerahkan peluang menikmati keindahan syawal ini selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadhan, bulan mulia yang penuh berkah.
Dan syawal ini menyaksikan kesayuan di hati insan-insan pilu itu. Ada yang bersendirian ditemani sepi, si yatim piatu kepiluan merindukan salam di pagi syawal bersama ibu ayah yang tercinta. Dan insan ini hanya menyiapkan serba sedikit untuk anak-anak kecil yang masih tidak mengerti apa yang sedang berlaku pada mereka yang gundah gulana mengenangkan si ayah yang tercinta.
Syawal ini bagiku paling memilukan. Tatkala mencium kurus tangan si tua itu, aku terfikir adakah ini salam syawal terakhir kita ayah? Bukan berputus asa dengan ujian Yang Maha Esa namun aku insan lemah yang kadang-kala tersungkur jatuh semangatnya. Tahun sebelum ini entryku bertajuk ADAKAH INI RAMADHAN TERAKHIR KITA  dedikasi ingatan dan rinduku buat si ibu yang amat ku rindui tatkala itu di perantauan. Syukur, masih ada lagi Ramadhan buat kita mak. Dan kini kuharap BUKAN INI SYAWAL TERAKHIR KITA……
Hampir  3 bulan lelaki pertama di hatiku ini terbaring lemah di katil usang itu. Bukan ini yang kupinta buat dia yang dulunya kuat bergerak tanpa bantuan sesiapa, kini untuk bergerak sedikit pun tiada kudrat melainkan dengan bantuan anak-anak dan isteri tercinta. Hatiku pilu menyaksikannya. Lelaki ini bukan selemah ini namun inilah putaran roda sebuah kehidupan, suatu masa nanti mungkin aku juga akan berada di tempat ini.
Dan sesungguhnya setiap kejadian itu berhikmah. Awal tahun lalu aku menyatakan keenggananku melanjutkan pengajianku buat sementara waktu selepas tamat diploma dengan hajat untuk menimba pengalaman kerja dan membina keyakinan untuk berhadapan masyarakat terhadap lelaki ini. Menangis aku mengharapkan keizinannya namun peganganku mudah, bila orang tuaku tidak menyetujui maka aku akan akur walau dalam terpaksa. Begitulah, kuturut kemahuannya supaya mengisi permohonan untuk melanjutkan pengajian. Aku meneruskan niat hati si bapa dengan rasa tidak puas hati dan berat hati.
Dan Alhamdulillah, permohonanku ditolak dan sungguh ayahku  tidak berpuas hati. Sekali lagi aku berpegang, andai disuruh oleh ayah untuk membuat rayuan akan kuturut tanpa bantahan dan nyata aku menurut kemahuan ayah buat kesekian kalinya. Sekali lagi aku gagal.
Sungguh kejadian ini berhikmah, ayah jatuh sakit bilamana aku tamat latihan industry di Chendering. Dan kuhamparkan kudrat wanitaku yang tak seberapa untuk ayahku yang tercinta. Kusaksikan sendiri tahap kesihatannya dari sehari ke sehari dan kumohon, Kuatkan hati dan keyakinan serta kesabaran kami untuk melihat ayah kami kembali sihat seperti dulu. Sungguh, aku masih belum bersedia untuk Syawal terakhir kita, ayah……..
Ayah, masih terbayang gelak tawa dan gurauan mesramu di sebalik dugaan ini. Sungguh aku bersyukur dikurniakan ayah seistimewamu walau apapun pandangan mata orang luar namun di hati kami ayah tiada galang gantinya. Maka aku bersyukur walau tidak dapat melanjutkan pengajian dan masih belum berpeluang menimba pengalaman kerja namun aku sedar semua itu boleh dicari, namun Ayah yang satu ini hanya ada satu dan tiada pengganti.
Dan kusaksikan kasih anak-anak dan seorang isteri di sebalik kejadian ini. Semoga ianya teguh dan tidak berubah walau badai melanda hingga ke akhir nafas kita wahai ayah………..ku mohon, BUKAN INI SYAWAL TERAKHIR KITA.
Pesan ayah tatkala aku hampir putus asa di perantauan : Percaya Diri, Yakin Diri dan Jangan Lupa Diri…..InsyaAllah.
 * entry ini ditulis pada 1 syawal yang lalu. namun, belum sempat dipost ayahndaku menyahut seruan Illahi pada 4 syawal yang lalu.......Al-Fatihah
MUKTAR MAT ALI
31 OGOS 1956 - 13 SEPTEMBER 2010

No comments:

Hello There

"hari ini bukan semudah semalam untuk bergelar manusia sempurna. banyak yang perlu dikorbankan, banyak juga yang terpaksa dilepaskan. sesekali langkah tersadung, rebah menyembah. sesekali melangkah gagah tersenyum megah dan semua itu memerlukan pengorbanan, menentukan kesabaran dan air mata. selagi prinsip hidup berada di atas landasan yang betul, usah di gusar pada anugerah Tuhan. anggaplah sesekali diduga itu sekadar utk mematangkan dan mengajar kita untuk bangun menjadi manusia sesempurna insan......" insyaAllah
 

Made by Lena