Daisypath Anniversary tickers

THE SIGN OF OUR LOVE

Lilypie First Birthday tickers

Wednesday, September 22, 2010

Damailah Ayah di Sana

Pagi itu aku bangun dengan kepala yang berat. Kesan sakit kepala semalam masih terasa. Aku bangkit daripada tidur dan kupandang bilik yang betul-betul berada di hadapan sofa yang aku tidur. Dapat kulihat sekujur badan kaku di pembaringan. Alunan bacaan ayat suci surah Yassin kedengaran dibacakan oleh bapa saudaraku. Aku menarik nafas perlahan. Cuba mencerna peristiwa semalam…..

4 Syawal
Sejak pagi, ayah berpesan kepada mak supaya tidak membenarkan anak-anaknya pulang ke rumah masing-masing. Katanya, dia ingin memulakan 'perjalanan' yang jauh selepas Asar. Hatiku berdebar tatkala pesanan itu disampaikan kepada kami adik beradik namun kutiupkan semangat positif dalam diri. Semua kejadian adalah aturanNya.

Lebih kurang pukul 8 pagi, kami menyiapkan ayah yang mahu ke Klinik Nadzri. Untuk kesekian kalinya, ayah berpesan supaya semua anak-anaknya berada di rumah.

Petang itu aku menyuapkan sedikit nasi dan limau untuk ayah. Ayah tak makan banyak namun aku gembira, ayah sudah mampu meminta untuk makan kerana sejak kebelakangan ini selera makan ayah semakin berkurangan. Adik lelakiku membersihkan ayahku dan menukar bajunya manakala abangku melayan percakapan ayah. Mak kami biarkan berehat kerana kami tahu, mak sudah terlalu lama kurang rehatnya. Sementara kami semua adik beradik ada, biarlah kami mengambil alih tugasnya.

Lebih kurang tepat pukul 4 petang, kami mulai cemas. Dan peristiwa itu berjalan sepertimana aturanNya……..kepalaku semakin memberat. Tatkala tanganku menyentuh sejuk kaki ayah, aku sedar masanya hampir tiba. Kami sekeluarga dan saudara mara yang rapat akhirnya akur. Ayah kembali menyahut seruan Illahi lebih kurang 7.30 malam sepertimana kata-katanya, ‘Ayah ingin berjalan jauh selepas Asar’

Aku menangis hiba di dalam dakapan sepupuku. Cukup buatku tahu, ayah pergi dengan tenang di samping kami semua.

5 Syawal
Selepas menyucikan diri dan menyelesaikan apa yang patut tiba-tiba ku dengar percakapan mak dengan Ayah Cik. Ku pandang jam di dinding, lebih kurang 6.30pagi. Semalam mak kelihatan tabah kehilangan insan tersayangnya namun kini baru mak mula merasainya. Katanya, melihat kemeja dan tali leher yang tergantung di dalam bilik mula menyedarkannya, ayah sudah tiada. Mak mula menangis. Aku diam di sofa…..berfikir sejenak. Aku kini sudah yatim. Hidupku sudah tanpa lelaki bergelar ayah di sisi…….

Alhamdulillah, majlis pengebumian arwah ayah berjalan lancarnya. Aku sebak dan sayu dengan kehadiran saudara mara dan sahabat handai yang tidak putus-putus hadir sejak semalam. Sehinggakan ada yang sudi menghantar hingga ke tanah perkuburan. Terima kasih semua…….

Hari ini, hampir 10 hari ayah kembali kepada Penciptanya. Damailah ayah di sana…….rindu ini takkan berakhir kerna hangat kasihmu senantiasa mekar dalam setiap hela nafasku dan insan-insan yang mencintaimu, kerna ayah insan istimewa anugerah Dia buat kami. Al-Fatihah….

tika terkuak jendela hari
fajar belum pun menyisih lagi
tercari-cari kemana pergi
dia yang pernah menemani disisi

kuharap sinar menerang kabus

agar terang lorong perjalananku
kusangka cerah siangku hari ini
mendung pula menutupi

gerimis ini terlalu pagi

menghantar sayu pilu dihati
gerimis ini bagai mengerti
dikau yang pergi takkan kembali

menyekat gerimis gerimis yang gugur dipipi

terimbau kenangan yang pernah terlukis
dalam gerimis yang bagaikan mengerti
jasadmu diusung pergi

kupujuk diriku tidak menyesali

pemergianmu tertulis di azali
namun hati ini sukarku bohongi
kehilanganmu tak berganti

gerimis tiba dihujungnya

sampai waktu kan berhenti jua
begitulah kehidupan kita didunia
tiada siapa yang kekal selamanya
entah bila waktu ku akan tiba
gerimis by fareast

 



Monday, September 20, 2010

BUKAN INI SYAWAL TERAKHIR KITA


Pagi syawal ini menjelma dengan penuh ketenangan ditemani dingin embun di pagi hari. Alhamdulillah dipanjatkan untuk Illahi di atas nikmat kurniaanNya yang tidak terhingga ini. Syukur insan ini masih dianugerahkan peluang menikmati keindahan syawal ini selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadhan, bulan mulia yang penuh berkah.
Dan syawal ini menyaksikan kesayuan di hati insan-insan pilu itu. Ada yang bersendirian ditemani sepi, si yatim piatu kepiluan merindukan salam di pagi syawal bersama ibu ayah yang tercinta. Dan insan ini hanya menyiapkan serba sedikit untuk anak-anak kecil yang masih tidak mengerti apa yang sedang berlaku pada mereka yang gundah gulana mengenangkan si ayah yang tercinta.
Syawal ini bagiku paling memilukan. Tatkala mencium kurus tangan si tua itu, aku terfikir adakah ini salam syawal terakhir kita ayah? Bukan berputus asa dengan ujian Yang Maha Esa namun aku insan lemah yang kadang-kala tersungkur jatuh semangatnya. Tahun sebelum ini entryku bertajuk ADAKAH INI RAMADHAN TERAKHIR KITA  dedikasi ingatan dan rinduku buat si ibu yang amat ku rindui tatkala itu di perantauan. Syukur, masih ada lagi Ramadhan buat kita mak. Dan kini kuharap BUKAN INI SYAWAL TERAKHIR KITA……
Hampir  3 bulan lelaki pertama di hatiku ini terbaring lemah di katil usang itu. Bukan ini yang kupinta buat dia yang dulunya kuat bergerak tanpa bantuan sesiapa, kini untuk bergerak sedikit pun tiada kudrat melainkan dengan bantuan anak-anak dan isteri tercinta. Hatiku pilu menyaksikannya. Lelaki ini bukan selemah ini namun inilah putaran roda sebuah kehidupan, suatu masa nanti mungkin aku juga akan berada di tempat ini.
Dan sesungguhnya setiap kejadian itu berhikmah. Awal tahun lalu aku menyatakan keenggananku melanjutkan pengajianku buat sementara waktu selepas tamat diploma dengan hajat untuk menimba pengalaman kerja dan membina keyakinan untuk berhadapan masyarakat terhadap lelaki ini. Menangis aku mengharapkan keizinannya namun peganganku mudah, bila orang tuaku tidak menyetujui maka aku akan akur walau dalam terpaksa. Begitulah, kuturut kemahuannya supaya mengisi permohonan untuk melanjutkan pengajian. Aku meneruskan niat hati si bapa dengan rasa tidak puas hati dan berat hati.
Dan Alhamdulillah, permohonanku ditolak dan sungguh ayahku  tidak berpuas hati. Sekali lagi aku berpegang, andai disuruh oleh ayah untuk membuat rayuan akan kuturut tanpa bantahan dan nyata aku menurut kemahuan ayah buat kesekian kalinya. Sekali lagi aku gagal.
Sungguh kejadian ini berhikmah, ayah jatuh sakit bilamana aku tamat latihan industry di Chendering. Dan kuhamparkan kudrat wanitaku yang tak seberapa untuk ayahku yang tercinta. Kusaksikan sendiri tahap kesihatannya dari sehari ke sehari dan kumohon, Kuatkan hati dan keyakinan serta kesabaran kami untuk melihat ayah kami kembali sihat seperti dulu. Sungguh, aku masih belum bersedia untuk Syawal terakhir kita, ayah……..
Ayah, masih terbayang gelak tawa dan gurauan mesramu di sebalik dugaan ini. Sungguh aku bersyukur dikurniakan ayah seistimewamu walau apapun pandangan mata orang luar namun di hati kami ayah tiada galang gantinya. Maka aku bersyukur walau tidak dapat melanjutkan pengajian dan masih belum berpeluang menimba pengalaman kerja namun aku sedar semua itu boleh dicari, namun Ayah yang satu ini hanya ada satu dan tiada pengganti.
Dan kusaksikan kasih anak-anak dan seorang isteri di sebalik kejadian ini. Semoga ianya teguh dan tidak berubah walau badai melanda hingga ke akhir nafas kita wahai ayah………..ku mohon, BUKAN INI SYAWAL TERAKHIR KITA.
Pesan ayah tatkala aku hampir putus asa di perantauan : Percaya Diri, Yakin Diri dan Jangan Lupa Diri…..InsyaAllah.
 * entry ini ditulis pada 1 syawal yang lalu. namun, belum sempat dipost ayahndaku menyahut seruan Illahi pada 4 syawal yang lalu.......Al-Fatihah
MUKTAR MAT ALI
31 OGOS 1956 - 13 SEPTEMBER 2010

Hello There

"hari ini bukan semudah semalam untuk bergelar manusia sempurna. banyak yang perlu dikorbankan, banyak juga yang terpaksa dilepaskan. sesekali langkah tersadung, rebah menyembah. sesekali melangkah gagah tersenyum megah dan semua itu memerlukan pengorbanan, menentukan kesabaran dan air mata. selagi prinsip hidup berada di atas landasan yang betul, usah di gusar pada anugerah Tuhan. anggaplah sesekali diduga itu sekadar utk mematangkan dan mengajar kita untuk bangun menjadi manusia sesempurna insan......" insyaAllah
 

Made by Lena