Daisypath Anniversary tickers

THE SIGN OF OUR LOVE

Lilypie First Birthday tickers

Monday, November 10, 2014

SENTUHAN AKHLAK SEMASA MENYUSUKAN BAYI

Banyak buku menulis tentang kepentingan menyusukan bayi. Topik yang sering dibincangkan ialah manfaat dari segi kesihatan terhadap si ibu dan bayi. Ironinya, manfaat dan kelebihan menyusukan bayi jauh lebih banyak daripada aspek kesihatan.

Artikel kali ini membawa anda melihat bagaimana saat menyusukan bayi menjadikan saat yang sangat efektif untuk memberikan pendidikan akhlak buat si comel. Pendidikan akhlak semasa menyusukan bayi antara aspek yang sering diabaikan oleh kaum ibu terutamanya.

Akhlak yang baik dapat menjamin keselamatan dan kesejahteraan manusia di muka bumi. Dunia hari ini, hampir setiap hari kita disajikan dengan pelbagai berita tentang kejahatan dan kerosakan yang tidak habis-habis samada di negara ini atau di tempat lain di muka bumi ini.

Jika difikirkan sejenak sedikit tindakan perubahan yang kita lakukan bakal memperbaiki dunia melalui sentuhan akhlak semasa menyusukan bayi. Benarlah bagai kata pepatah ‘tangan yang menghayun buaian bakal menggoncang dunia’.

Langkah awal yang boleh dilakukan adalah dengan menyusukan bayi sebagaimana perintah ALLAH SWT di dalam Al-Quran. Lebih baik lagi dengan memasukkan sentuhan akhlak semasa proses penyusuan selama tempoh 2 tahun tersebut.

Sentuhan Akhlak
Secara fizikal, payudara si ibu memberikan kelembutan buat si bayi. Hal ini memberi kesan besar terhadap bayi yang sedang membesar. Keseluruhan tubuh badan ibu sebenarnya memberitahu keadaan rahsia kasih sayang ibu terhadap anaknya. Bayi dapat merasai kehangatan kasih sayang ibunya melalui dakapan hangatnya, suhu badan ibunya yang membuatkan bayi berasa tenang dan bunyi nadi jantung yang membuatkan dirinya berasa selamat.

Jika ibu berasa penat atau letih, bayi juga dapat merasakan hal ini melalui respon badan ibu. Bayi akan meragam dan menangis seharian disebabkan air susu yang tidak keluar laju seperti kebiasaan. Air susu hanya keluar lancar apabila ibu berasa bahagia dan tenang.

Sepanjang proses penyusuan, bayi belajar mengenal perubahan yang berlaku di sekelilingnya. Bayi belajar mengenal manusia lain selain dirinya, iaitu yang paling terdekat dan penting dalam hidupnya ialah ibunya sendiri.

Hal ini merupakan dasar paling awal dalam modul akhlak dan sentuhan alami. InsyaAllah, akhlak mengutamakan ibu adalah perkara mulia yang disukai ALLAH SWT jika dibandingkan di dunia ini masih ramai lagi anak yang menderhakai dan melupai ibu mereka sendiri.

Sepanjang proses menyusu, bayi juga belajar berkomunikasi dengan ibu. Komunikasi asas adalah apabila bayi menepuk lembut dada ibu atau melalui hisapan dan gigitan. Bayi akan menggigit apabila dia berasa marah atau tidak selesa.

Proses menyusukan bayi dengan susu ibu merupakan proses asas akhlak alami yang baik buat si anak. Oleh itu, usaha meningkatkan kualiti ibu semasa menyusukan bayi dengan menghaluskan perasaan kepada lebih ikhlas (semata-mata mengharapkan keredhaan ALLAH SWT), menjernihkan hati (sabar dan tabah sepanjang proses penyusuan) dan membersihkan jiwa (mengharapkan keampunan ALLAH SWT) memberi kesan yang sangat besar dalam pendidikan akhlak kepada anak.

Perkara-perkara lain yang wajar dicontohi oleh ibu yang menyusukan bayi ialah dengan menjadikan contoh tauladan oleh ibu Imam Syafi’i. Sentuhan akhlak yang lebih bermakna dengan meniru apa yang dilakukan oleh ibu Imam Syafi’i iaitu mengaji Al-Quran ketika menyusukan bayinya.
Sepanjang bayi mengisap susu ibu, telinganya terus-menerus mendengar lantunan ayat-ayat suci Al-Quran yang dibacakan ibunya. Pendengaran anak merupakan peranan penting sebagai pintu utama masuknya maklumat pada saat penglihatan belum begitu jelas buat bayi yang baru lahir.


Selain bacaan Al-Quran, ibu juga dapat mengucapkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan kalimah baik yang lain selama menyusukan bayi. Sesekali sambil tangan ibu mengusap kepala bayi. Ucapan ibu akan terus masuk tembus ke hati anak jika ucapan tersebut keluar dari hati suci ibu.

sumber : ohibu.com

No comments:

Hello There

"hari ini bukan semudah semalam untuk bergelar manusia sempurna. banyak yang perlu dikorbankan, banyak juga yang terpaksa dilepaskan. sesekali langkah tersadung, rebah menyembah. sesekali melangkah gagah tersenyum megah dan semua itu memerlukan pengorbanan, menentukan kesabaran dan air mata. selagi prinsip hidup berada di atas landasan yang betul, usah di gusar pada anugerah Tuhan. anggaplah sesekali diduga itu sekadar utk mematangkan dan mengajar kita untuk bangun menjadi manusia sesempurna insan......" insyaAllah
 

Made by Lena